Atlet RTT Bukit Jalil boleh tarik nafas lega

Oleh Ammar Hakim 28 Mei 2020 103
Atlet RTT Bukit Jalil boleh tarik nafas lega
Atlet negara yang akan memulakan latihan program Road to Tokyo (RTT) di kluster Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil, 8 Jun ini kini boleh menarik nafas lega, ini kerana pusat kuaratin Covid-19 di asrama penginapan atlet sudah dipindahkan, kurang dua minggu sebelum atlet melaporkan diri.

Kerja-kerja sanitasi Casa 1 MSN Bukit Jalil dijangka selesai, minggu depan.

Proses ini menyebabkan atlet kluster latihan Bukit Jalil terpaksa memulakan sesi latihan lewat seminggu berbanding kluster Bukit Kiara dan Langkawi, Kedah.

MSN juga sedang menilai keperluan menggunakan Casa 1 sebagai asrama penginapan atlet, jurulatih dan pegawai.

"Kami berharap segala urusan harus diselesaikan dalam kadar segera dan memastikan setiap kawasan, fasiliti yang digunakan bersih dan bebas daripada Covid-19," kata Pengarah Bahagian Atlet Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin.

Seramai 146 individu akan terbabit dengan kluster latihan Bukit Jalil termasuk rakan latihan dan pegawai sokongan.

Secara keseluruhan jumlah atlet berkurangan kepada 56 iaitu 30 normal dan 26 Paralimpik apabila seorang penembak para, Muhamad Khaidir Kassim menarik diri kerana sukar layak ke Paralimpik Tokyo.

Tentang Penulis

Ammar Hakim

Komen