Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, menegaskan keputusan akhir bagi kemasukan baru dan pengguguran atlet Program Podium akan diketahui sepenuhnya esok.

Urusan pada peringkat jawatankausa kerja membabitkan Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN) dan persatuan sukan sudahpun melewati perbincangan akhir berhubung prestasi atlet.

Apa yang akan berlaku esok adalah pengesahan akhir yang akan melalui persetujuan Khairy sebelum ia diumumkan Jumaat ini.

"Kami akan menerima cadangan daripada Program Podium dan kami akan berbincang dengan semua pihak, termasuk MSN dan ISN, esok.

"Program Podium perlu mempertahankan cadangan mereka. Kenapa atlet-atlet tertentu dikeluarkan? Kenapa atlet atau pasukan tertentu dimasukkan?" katanya.

Ia merujuk kepada prestasi atlet sepanjang 2017, yang menyaksikan muka baru dan juga pengguguran atlet daripada program itu.

Setiap keputusan turut mempengaruhi keupayaan skuad Malaysia bersaing dalam dua kejohanan besar tahun depan, iaitu Sukan Komanwel dan Sukan Asia.

"Esok adalah (mesyuarat) peringkat tertinggi yang dipengerusikan oleh saya. Di situlah pengesahan akhir akan dibuat mengenai Program Podium," katanya.