Atlet Perak terima durian runtuh

Oleh Azizan Hashim 15 Disember 2018 108
Atlet Perak terima durian runtuh
Kerajaan Perak memperuntukkan RM1.5 juta sebagai insentif kepada atlet yang berjaya mengharumkan nama negeri itu dalam pelbagai pertandingan peringkat nasional.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata ia sebagai penghargaan dan motivasi untuk barisan atlet berkenaan mengekalkan kejayaan yang dimenangi.

"Saya berharap atlet ini akan membawa pulang lebih banyak kejayaan, bukan setakat untuk negeri Perak, malah kalau boleh di peringkat negara.

"Saya juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah membantu atlet-atlet ini dalam mengharumkan nama negeri dalam kejohanan yang disertai," katanya dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Penyampaian Insentif Kemenangan Sukan Negeri Perak 2018 di Hotel Kinta River Front, Ipoh, semalam.

Terdahulu, insentif berkenaan diberikan kepada atlet negeri yang berjaya menggondol pingat dalam Sukan Malaysia (SUKMA), Para SUKMA, dan Sukan Orang Pekak Malaysia (SOPMA) yang berlangsung di Perak, baru-baru ini.

Dalam majlis itu, atlet olahraga Para Sukma Perak, Muhammad Faiz Haizat Rosli, yang meraih tiga pingat emas muncul penerima insentif terbanyak sebanyak RM15,000.

Atlet memanah Para Sukma, Nor Sa'adah Abdul Wahab dan K. Moragen, serta pemain ping pong, Hong Chin Sing, masing-masing menerima RM13,500.

Selain itu, insentif tersebut juga diberikan kepada skuad The Bos Gaurus yang muncul juara Piala Malaysia musim ini selain kejayaan pasukan hoki Perak menjuarai Piala Razak.

Ahmad Faizal juga melahirkan penghargaan kepada Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Pembangunan Modal Insan negeri, Howard Lee Chuan How, kerana berjaya melancarkan penganjuran beberapa temasya sukan di Perak meskipun berdepan sedikit cabaran.

Sementara itu, Howard berkata dengan kejayaan menganjurkan beberapa temasya sukan sebelum ini, ia mampu merealisasikan hasrat kerajaan negeri untuk menjadikan Perak sebagai destinasi penganjuran sukan, sama ada diperingkat nasional mahupun antarabangsa.

Katanya lagi, perkara itu juga dilihat berpotensi untuk menjana pendapatan ekonomi negeri Perak.

"Dengan apa yang kami telah laburkan sebelum ini (kemudahan sukan), ia adalah modal untuk mewujudkan penjanaan ekonomi, khususnya daripada sudut penganjuran sukan.

"Tak kisah sama ada di peringkat nasional atau antarabangsa, penganjuran sukan mampu menjana ekonomi negeri jika ia dilakukan dengan perancangan yang baik," katanya.

Tentang Penulis

Azizan Hashim

Komen