Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), SM Nasaruddin SM Nasimuddin, mencadangkan beberapa negara paling sesuai untuk pemenang pingat Sukan Paralimpik Rio 2016 menjalani kem latihan pusat menjelang Kejohanan Dunia Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) dan Sukan Para Asean Kuala Lumpur 2017.

Pemenang pingat emas Paralimpik Rio, Mohd Ridzuan Puzi, Mohd Ziyad Zolkefli dan Abdul Latif Romli, dilihat lebih sesuai menjalani latihan pusat luar di negara untuk mengekalkan prestasi mereka.

Sebelum ini, Ziyad pernah berlatih hampir tiga bulan di Jerman sehingga berjaya mencapai jarak 17 meter dalam acara lontar peluru.

Ridzuan dan Latif pula berlatih hampir sebulan di Ranau, Sabah, sebelum memilih Jerman sebagai kem latihan pusat menjelang Sukan Paralimpik Rio.

Ternyata kem latihan di luar negara membuahkan hasil menggalakkan dan Nasaruddin berpendapat program seperti itu perlu dipertingkatkan.

"Saya belum kenal pasti lagi. Kami pernah hantar atlet ke Jerman dan United Kingdom, bergantung kepada acara mereka.

"Kami sedang berbincang dengan Majlis Sukan Negara (MSN), insya-Allah ia akan dimuktamadkan tidak lama lagi.

"Atlet kita tengah bersemangat sekarang, masing-masing mahu membuat yang terbaik untuk Sukan Para Asean.

"Sama ada berlatih di luar atau di dalam negara, kami akan tetap melakukan yang terbaik," jelas Nasaruddin mengenai perancangan terdekat skuad Paralimpik negara.

"Saya mahu cuba berlatih di negara Arab. Saya pernah beraksi di Doha dan ia pengalaman hebat. Saya harap dapat kembali ke sana sekali lagi," kata Ridzuan pula.

MSN sedang merancang program paling sesuai untuk skuad Paralimpik negara, terutama pemenang pingat di Rio dan turut mempertimbangkan latihan pusat di luar negara.

Terdahulu, skuad Paralimpik dan pegawai MPM menghadiri Program Hutan Kita yang turut dihadiri penaung MPM, Tun Jeanne Abdullah, di Pusat Kecemerlangan Paralimpik di Kampung Pandan, Kuala Lumpur.