Atlet para bakal dikeluarkan daripada Program Podium

Oleh Penulis Jemputan 2 Oktober 2017 1115
Atlet para bakal dikeluarkan daripada Program Podium
Pengarah Cawangan Paralimpik Majlis Sukan Malaysia (MSN), Safrushahar Yusoff, mengakui penurunan prestasi ketara membabitkan beberapa atlet Podium para membawa kepada pengguguran nama yang akan diumumkan dalam masa terdekat.

Masih belum ada kata putus, namun nama-nama seperti Raduan Emaeri, Amir Firdaus, S. Kumar Haridas dan Faizal Aideal Suhaimi berada dalam pemantauan pihak Program Podium ekoran kegagalan mereka beraksi pada tahap terbaik dalam Sukan Para ASEAN, bulan lalu.

Segalanya perlu melewati beberapa perbincangan dengan pihak Program Podium, Institut Sukan Negara (ISN) dan juga Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) sebelum keputusan diambil.

"Kami menyerahkan kepada pihak Podium untuk menentukan penilaian prestasi semula dan kami juga akan mengadakan perbincangan bersama mereka," katanya.

Tambah Safrushahar, keputusan hanya akan diketahui dalam masa terdekat selepas mengambil kira kemampuan dan juga faktor umur atlet terlibat.

Dalam masa sama beberapa nama melibatkan atlet daripada sukan lain juga bakal mengalami perubahan.

Tegas Safrushahar perubahan atau pengguguran atlet para negara tidak akan mempengaruhi persediaan negara ke Sukan Para Asia tahun depan selepas kemunculan atlet baru dalam Sukan Para ASEAN.

"Sukan Para Asean baru-baru ini menunjukkan ramai atlet-atlet pelapis yang mampu untuk diketengahkan bagi menghadapi Sukan Para Asean sebelum melayakkan diri ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020."

Sementara itu, ketua jurulatih olahraga para negara, R. Jegananthan, terpaksa menerima hakikat andai keputusan gagal memihak kepada anak buahnya.

Dia terpaksa mengakui empat atlet yang terlibat gagal berada pada prestasi terbaik sambil menegaskan beberapa nama lain juga dalam pemantauan.

"Kumar menjalani latihan dengan bagus tetapi selama tiga minggu dia menjadi sangat lemah, pergerakannya menjadi perlahan. 

"Kami akan berbincang dengan pengurusan sama ada mengekalkannya atau terpaksa menggugurkan," kata Jeganathan.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen