Atlet negara teruja kembali ke Bukit Jalil

Oleh Bernama 8 Jun 2020 41
Atlet negara teruja kembali ke Bukit Jalil
Beberapa atlet negara melahirkan rasa syukur apabila dapat kembali menjalani latihan fizikal seperti biasa di Kompleks Sukan Negara, Bukit Jalil, sebagai persediaan untuk menghadapi Sukan Olimpik Tokyo tahun depan.

Ratu terjun negara, Pandelela Rinong, berkata dia gembira dapat kembali meneruskan latihan di Pusat Akuatik Nasional setelah terpaksa menjalani latihan ringan di rumah susulan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu.

"Saya lega dan gembira dapat kembali ke persekitaran asal (latihan fizikal di Bukit Jalil) dan tak sabar untuk mulakan latihan.

"Sudah hampir tiga bulan saya tidak terjun, jadi saya rasa latihan perlu dijalankan segera bagi mendapatkan rentak terjunan sebelum menghadapi Sukan Olimpik tahun depan," katanya.

Pada masa sama, pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu menjelaskan dia sedia mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN), termasuk mengehadkan pergerakan di sekitar Bukit Jalil, penjarakan sosial satu meter dan penggunaan cecair pencuci tangan bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19.

Berkongsi pandangan sama adalah pemanah para negara, S. Suresh, yang gembira dapat menjalani latihan fizikal di Padang Memanah Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil, setelah terpaksa mengehadkan sesi latihan di kawasan rumah susulan pelaksanaan PKP pada Mac lalu.

"Sebelum ini, saya sekadar menjalani latihan menggunakan tali getah dan sebagainya di rumah tapi apabila MSN panggil saya kembali menjalani latihan seperti biasa, perasaan saya amat teruja.

"Jurulatih (Marzuki Zakaria) masih belum memaklumkan mengenai corak latihan, namun saya sedia mematuhi SOP yang dikeluarkan pihak terlibat bagi mengelakkan jangkitan Covid-19," ujar anak jati Kedah itu.

Seramai 142 atlet, pegawai sukan dan staf sokongan dari MSN dan Institut Sukan Negara (ISN) melapor diri untuk kem latihan pusat program Road to Tokyo (RTT) 2020 di Bukit Jalil bermula hari ini.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan timbalannya, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, turut meluangkan masa meninjau kem latihan pusat berkenaan.

-- BERNAMA

Tentang Penulis

Bernama

Komen