Atlet luncur air negara terus memantapkan persiapan untuk Sukan SEA 2017 apabila mendapat tunjuk ajar jurulatih terkemuka dari Georgia, Genadi Guralia.

Genadi -- juara dunia lima kali -- adalah antara watak penting melatih atlet luncur air negara, Aaliyah Yoong Hanifah, dalam tempoh tiga tahun ini.

Biarpun hadir hanya sebulan, kehadiran Genadi cukup penting dalam usaha membantu Aaliyah yang akan beraksi dalam Kejohanan Luncur Air Remaja Dunia 2016 di Santiago, Chile, Januari depan.

"Dia sangat berbakat. Saya diminta datang ke sini untuk membantu mereka meningkatkan teknik. Dengan segala pengalaman yang ada, saya akan cuba membantu Aaliyah dan beberapa remaja lain juga," kata Genadi.

Kehadiran Genadi sehingga 23 Disember ini jelas menyuntik motivasi Aaliyah dan dua adiknya, iaitu Aiden Yoong dan Adam Yoong, yang mengakui banyak kelemahan mereka yang mampu diperbaiki.

"Dia banyak membantu saya seperti aspek teknik, dia menunjukkan teknik terjunan dan segalanya," kata Aaliyah.

Sementara itu, Adam berkata:" Jurulatih sangat membantu saya. Dia menasihati saya agar jangan berasa takut."

Anak-anak Yoong Hanifah adalah pelopor bagi sukan itu dan dijangka terus menjadi penyumbang emas bagi Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 berdasarkan rekod dua emas, dua perak dan tiga gangsa, diketuai Aaliyah dalam temasya sukan serantau itu di Singapura tahun lalu.