Atlet di luar program Road to Tokyo (RTT) perlu mempertimbangkan semula hasrat kembali berlatih 15 Jun ini, ini kerana Majlis Sukan Negara (MSN) sedang menyiapkan prosedur operasi standard (SOP) selain tidak akan menyediakan penginapan dan aspek pengangkutan untuk mereka.

Atlet-atlet yang bukan di bawah program RTT diminta untuk meneruskan latihan di negeri masing-masing kerana buat masa ini kerana MSN tidak menyediakan penginapan dan memberikan keutamaan buat program RTT ketika ini.

"Sebaik 15 Jun, mereka telah dibenarkan memulakan latihan berbentuk kemahiran, latihan individu namun latihan berbentuk simulasi perlawanan masih belum boleh dilakukan serta penginapan tidak disediakan," kata Ketua Pengarah MSN, Ahmad Shapawi Ismail.

"Kami menjangkakan akhir bulan ini selepas berakhirnya program latihan RTT, lebih ramai atlet akan kembali ke Majlis Sukan Negara untuk menjalani latihan sepenuh masa," kata Pengarah Bahagian Persediaan Atlet MSN, Jefri Ngadirin.

Sementara itu, seramai 135 orang atlet dan pegawai kem latihan pusat bagi program RTT di Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil yang telahpun berdaftar 8 Jun lalu disahkan negatif Covid-19 dan keputusan ujian kesihatan bagi 11 orang atlet dan pegawai yang berdaftar lewat masih belum diperolehi.

Kesemua atlet terbabit akan memulakan latihan esok.