Bekas penerjun negara, Bryan Nickson Lomas, sukar menduga apa situasi sebenar yang melanda skuad terjun negara sehingga rekod bersih jurulatih, Yang Zhuliang, selama ini tercalar dengan isu yang kurang sedap didengar.

Kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, merujuk kepada situasi tidak selesa dalam kem negara juga menimbulkan tanda tanya buat Bryan yang sudah lima tahun meninggalkan skuad kebangsaan.

"Ini suatu perkara yang baru, saya sebagai orang luar ataupun bekas atlet tidak mendapat maklumat-maklumat seperti itu.

"Tetapi, mungkin ia berlaku di dalam skuad terjun sendiri, begitupun saya kurang pasti, baik dari sudut jurulatih," kata bekas atlet kelahiran Sarawak itu.

Mungkin ada benarnya timbul situasi kurang selesa dalam kalangan penerjun negara selepas apa yang berlaku.

Namun, untuk mengaitkan situasi itu dengan Zhuliang, yang tidak ditawarkan kontrak lanjutan, sukar untuk difahami secara mudah apabila setiap pihak mengeluarkan kenyataan berbeza dari hari ke hari.