Atlet karate Sabah yang membawa pulang pingat daripada Kejohanan Karate Kadet, Remaja dan B-21 Kebangsaan Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) Ke-29 baru-baru ini diberi insentif oleh Persatuan Karate Sabah (SKA).

Insentif berkenaan disampaikan Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah, Arunarnsin Taib, selepas merasmikan Kejohanan Karate Sekolah Rendah Sabah Ke-22 di Kompleks Sukan Kota Kinabalu (KSKK) semalam.

Arunarsin hadir ke majlis perasmian itu bagi mewakili Menteri Belia dan Sukan Sabah, Phoong Jin Zhe.

"Insentif ini adalah sebagai galakan persatuan agar karateka kami terus berusaha.

"Pemenang pingat emas menerima RM300, perak RM200 dan gangsa RM100.

"SKA berbelanja kira-kira RM10,000 untuk insentif ini kerana dalam kejohanan itu, kami menang 19 pingat emas, tujuh perak dan 14 gangsa untuk merampas semula gelaran juara keseluruhan," kata Setiausaha Agung SKA, Julian Chin.

Julian berkata pada tahun ini mereka bukan saja merampas semula gelaran juara keseluruhan, malah mendakapnya dengan rekod sejarah baru kerana ia merupakan kali pertama satu pasukan memenangi sebegitu banyak pingat emas dalam kejohanan berkenaan.