Atlet karate Sabah kembali ke 'dojo' mulai esok

Oleh Willie Jude 30 Jun 2020 18
Atlet karate Sabah kembali ke 'dojo' mulai esok
Persatuan Karate Sabah (SKA) akan membuka semula tempat latihan mereka yang terletak di Kompleks Sukan Likas bermula esok.

Setiausaha Agung SKA, Julian Chin, berkata pihaknya telah memaklumkan kepada Lembaga Sukan Sabah (LSS) berhubung perkara itu dan telah dipersetujui.

"Walaupun kami belum menerima surat rasmi daripada mereka (LSS), mereka secara lisan telah bersetuju dengan permohonan kami untuk membuka semula tempat latihan bermula esok. 

"Saya telah melawat pusat latihan itu baru-baru ini dan saya lihat tiada masalah kerana dewan (badminton) jauh daripada pusat latihan dan kawasan latihan juga telah dinyah-kumah hari ini," katanya.

Julian berkata, dengan pembukaan semula 'dojo' itu, ia membolehkan atlet karate Sukan Malaysia (Sukma) Sabah menyambung latihan mereka.

''Sebenarnya latihan skuad Sukma telah bermula dua minggu lalu namun hanya secara 'outdoor' dengan fokus utama untuk meningkatkan tahap kecergasan mereka.

''Apabila dojo dibuka kelak, barulah kami boleh fokus aspek lain dalam latihan,'' katanya lagi.

Julan turut memberi jaminan sesi latihan mereka nanti akan mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak berkuasa berkaitan.

''Kedua-dua acara, iaitu kata dan kumite akan terlibat dalam sesi latihan namun tidak akan ada kontak fizikal antara mereka.

''Kami juga akan memastikan penjarakan sosial dipatuhi serta mengambil suhu badan semua atlet sebelum dibenarkan berlatih,'' katanya.

Tentang Penulis

Willie Jude

Komen