Atlet golf, tenis Sabah kembali jalani latihan

Oleh Willie Jude 27 Mei 2020 4
Atlet golf, tenis Sabah kembali jalani latihan
Atlet golf dan tenis di Sabah kini boleh kembali semula menjalani latihan selepas Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSS) membenarkan dua kemudahan sukan itu digunakan di semua kompleks sukan negeri.

Menterinya, Phoong Jin Zhe, dalam satu kenyataan hari ini, berkata kemudahan golf (driving range sahaja) dibenarkan bermula 28 Mei ini manakala gelanggang tenis boleh digunakan bermula 1 Jun depan.

Bagaimanapun, Jin Zhe menegaskan semua pengguna wajib mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pihak berkuasa berkaitan.

"Kemudahan itu juga hanya dibuka untuk latihan para atlet saja manakala untuk gelanggang tenis, atlet negeri atau negara diberi keutamaan untuk menggunakannya," katanya.

"Tempahan penggunaan perlu dibuat lebih awal dan boleh ditempah secara dalam talian menerusi aplikasi GoNet atau menghubungi kaunter tempahan kompleks sukan.
 
"Kementerian Belia dan Sukan Sabah juga menyeru orang ramai agar sentiasa menjaga kesihatan dan kebersihan diri semasa bersenam serta bersukan," katanya.

Tentang Penulis

Willie Jude

Komen