Atlet doping mahukan ujian sampel B

Oleh Staff Writer 5 Oktober 2017 394
Atlet doping mahukan ujian sampel B
Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Low Beng Choo, mengesahkan atlet terjun negara yang gagal dalam ujian doping kerana positif bahan terlarang, dipercayai jenis sibutramine, dalam saingan Sukan SEA 2017, mahu sampel B miliknya duji.

Arena sukan negara riuh apabila seorang penerjun negara tersenarai dalam kalangan tiga atlet yang terlibat dengan kes doping dalam Sukan SEA Kuala Lumpur, Ogos lalu.

Atlet terbabit didapati positif ujian doping bagi sampel A selepas sebanyak 836 sampel diuji di sepanjang temasya itu, dengan 32 daripadanya membabitkan ujian darah.

Bagaimanapun, keputusan itu membuatkan atlet terbabit tidak berpuas hati dengan keputusan itu apabila disahkan mahu mencabar sampel B sebelum tampil di hadapan Jawatankuasa Pendengaran Persekutuan Sukan SEA (SEAGF).

"Memang ada yang mempersoalkan mengapa perlu melakukan ujian sampel B kerana ia melibatkan sampel yang sama tetapi ini adalah hak atlet. Mungkin atlet itu tidak akan berpuas hati jika tidak dibenarkan," kata Beng Choo.

Jika didapati bersalah, atlet itu bakal berdepan penggantungan empat tahun dan pingat yang dimenangi ditarik balik.

Namun, Beng Choo masih enggan mendedahkan identiti atlet itu serta jenis bahan terlarang yang diambil walaupun dipercayai membabitkan penggunaaan sibutramine, yang mampu memberi
kesan mendadak dalam usaha menurunkan berat badan.

"Kalau bukan tujuan meningkatkan prestasi, mungkin dia tidak sengaja atau cuai kerana sekarang memang banyak makanan, ubat-ubatan atau minuman yang memiliki bahan campuran tanpa disedari," tambahnya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen