Ketiga-tiga atlet yang terlibat dalam skandal dopig terbaru sudah diarah meninggalkan asrama penginapan Majlis Sukan Negara (MSN) selepas siasatan awal mendapati mereka membeli bahan terlarang jenis stanozolol secara atas talian.

Sebelum ini, atlet remaja berkenaan dikesan positif doping bahan terlarang jenis itu menerusi ujian yang dijalankan pegawai Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF).

Justeru, Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail, menjelaskan bahawa beberapa prosedur akan dilakukan selepas ini, termasuk ujian semula terhadap atlet yang terlibat.

"Kami sudah membincangkan perkara ini dan beberapa ujian akan dilakukan semula, bersama pihak Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) dan Institut Sukan Negara (ISN) untuk melakukan kajian bagaimana perkara ini berlaku.

"Siasatan awal yang kami temui adalah mereka mengaku mendapatkan bahan tersebut melalui atas talian, jadi ia memang mudah didapati. Perkara ini akan dibincangkan oleh jawatankuasa siasatan yang ditubuhkan oleh persatuan dan pihak MSN akan terlibat," ujar Shapawi.

Sementara itu, Shapawi mengesahkan bahawa pihaknya telah menggantung semua program latihan dan kejohanan angkat berat luar negara selagi siasatan masih belum selesai.

Malah, kesemua atlet angkat berat negara diminta menjalani dua ujian doping bagi memastikan mereka benar-benar bersih dan situasi yang berlaku juga menyaksikan peluang angkat berat untuk kembali ke dalam program sukan teras, akan terus musnah.

"Buat masa ini, kami menghentikan sebarang penyertaan bagi kejohanan di dalam dan luar negara serta latihan di luar negara. Kami akan melakukan ujian sekali lagi untuk membuat keputusan selanjutnya," katanya.