Prestasi atlet angkat berat Terengganu akan dipantau pakar selepas Persatuan Bina Badan dan Angkat Berat Terengganu (PBBABT) bekerjasama dengan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Pengerusi Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah, berkata kerjasama itu meliputi kajian dan penyelidikan pemakanan berjumlah RM60,000 selama dua tahun.

Kepakaran UniSZA melalui Fakulti Sains Kesihatan boleh memanfaatkan atlet angkat berat Terengganu selepas isu doping kian membelenggu sukan tersebut.

Bahan-bahan dilarang Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) juga mudah dikesan pakar, sekali gus mengurangkan kes melibatkan atlet negeri itu.

"Atlet angkat berat Terengganu menyumbang dua pingat emas, tiga perak dan tujuh gangsa selain membantu menjuarai Sukan Malaysia (Sukma) 2018," ujar Wan Sukairi.

"Malah, rekod acara 69kg clean and jerk milik Hafifi Mansor juga dipecahkan atlet Terengganu, Muhammad Darul Najmi Dollah.

"Usahasama ini antara perancangan dalam membentuk kontinjen lebih mantap untuk Sukma 2020," tambah Wan Sukairi dalam Majlis Meraikan Atlet dan Perjanjian Kajian Pemakanan Sukan Angkat Berat Terengganu, kelmarin.