Seorang daripada tiga atlet angkat berat yang positif bahan terlarang ketika Sukan Malaysia (Sukma) Perak memohon untuk diadakan ujian sampel B, dengan Naib Presiden Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Ahmad Janius Abdullah, berkata keputusan dijangka diketahui minggu depan.

Atlet angkat berat Pahang itu memohon dilakukan ujian sampel B selepas positif bahan perangsang jenis methylhezaneamine.

Ini merupakan kali kedua atlet tersebut positif bahan terlarang, sekali gus berdepan risiko digantung seumur hidup.

Justeru, tindakan itu terpaksa diambil bagi menyelamatkan karier angkat beratnya memandangkan usianya baru mencecah 21 tahun.

"Untuk perkembangan sampel B, kami mendapat maklumat daripada Agensi Anti Doping Malaysia (ADAMAS) bahawa keputusan tersebut akan diterima minggu ini. Kami berharap dapat menyelesaikan perkara ini dengan segera," kata Ahmad Janius.

Sebanyak empat kes positif berlaku dalam Sukma Perak sementara sukan judo turut merekodkan satu kes doping.

Proses pendengaran akan dijalankan hujung bulan ini selepas keputusan sampel B diperolehi.