Penolong Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi, mencadangkan Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) mewujudkan lima persatuan mengikut pecahan acara di bawah naungan mereka selepas gagal menangani kes ketua jurulatih terjun, Yang Zhuliang, dengan baik.

Bebanan tugas terlalu banyak menyaksikan ASUM gagal menangani kes Zhuliang dengan efisien.

ASUM sebagai badan induk sukan akuatik negara perlu menguruskan acara terjun, renang, polo air, renang berirama dan renang terbuka meskipun memiliki jumlah kakitangan sekitar 10 orang.

Ia menyaksikan mereka hanya mampu memberi tumpuan terhadap sesetengah acara seperti terjun sehingga jauh menenggelamkan polo air, renang berirama dan renang terbuka yang lebih banyak bersandarkan kepada kepercayaan jurulatih.

"(Dengan langkah itu) mereka akan mempunyai sebuah persekutuan renang yang menaungi lima persatuan tersendiri.

"Contohnya, mewujudkan persatuan polo air negara yang mempunyai peruntukan dan pejabat sendiri. Begitu juga dengan persatuan renang yang lain.

"Jadi, untuk pertandingan tempatan, mereka adalah (identiti) berasingan tetapi di peringkat antarabangsa, mereka di bawah persekutuan renang yang sama," kata Kok Chi yang ditemui hari ini.

Negara seperti Amerika Syarikat (AS) dan Australia sudah lama mengubah sistem pentadbiran persatuan akuatik mereka.

Mereka mewujudkan beberapa persatuan sukan di bawah persekutuan utama bagi memudahkan perancangan program latihan, penyertaan kejohanan dan mendapatkan tajaan. Oleh itu, tidak hairanlah perenang AS dan Australia mendominasi Kejohanan Dunia dan Sukan Olimpik.

"Kita sudah mempunyai ramai atlet yang telah bersara dan berkelayakan, mereka sudah bersedia untuk menyandang jawatan yang berkelayakan.

"Contohnya seperti Bryan Nickson Lomas. Dia sedang mengikuti pengajian Sarjana Pengurusan Sukan di Universiti Olimpik Antarabangsa Russia. Dia sudah boleh diketengahkan untuk menjawat jawatan seperti pengerusi teknikal," katanya.