Persatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) memberikan peluang setiap akademi dan persatuan renang negeri untuk membentangkan prosedur operasi standard (SOP) mengikut kesesuaian fasiliti masing-masing.

Bagaimanapun fasiliti yang diberikan perlu melewati penelitian ASUM terlebih dahulu sebelum ia diketengahkan kepada pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

"Setiap kolam adalah berbeza. Kami meminta pihak akademi dan persatuan perlu mengikut setiap langkah-langkah yang telah diketengahkan ketika mengendalikan latihan atlet masing-masing," kata Setiausaha Kehormat ASUM, Mae Chen.

"Kami telah berhubung dengan beberapa akademi dan persatuan bagi memperbetulkan SOP yang telah ditetapkan dan kami masih lagi mengumpul setiap dokumen telah diberikan hari ini."

SOP ASUM yang disediakan untuk kepada KBS menyaksikan maksimum empat perenang dibenarkan bagi kolam lapan lorong dan tempoh latihan maksimum ialah 1 jam 30 minit bagi perenang bertaraf kelab. Peraturan ketat turut dilaksanakan di mana perenang akan diarah meninggalkan kolam jika meludah atau berkumur di dalam air.

"Buat masa ini, tiada pilihan yang banyak dan mengikut setiap SOP yang telah dikeluarkan. Saya telah berhubung dengan beberapa rakan jurulatih di luar negara ketika ini," kata ketua jurulatih renang negara, Chris Martin.

Larangan ini meningkatkan cabaran buat Martin yang hanya mampu mengendalikan tiga perenang iaitu Welson Sim dalam program Road to Tokyo (RTT) yang ditemani dua rakan sepelatih.

Seorang lagi perenang program RTT, Phee Jinq En, dijangka pulang dari Amerika Syarikat, bulan depan.

Ia mengehadkan pilihan untuk jurulatih kelahiran Amerika Syarikat itu kerana majoriti anak buahnya hanya mampu menjadi pemerhati.

"Saya agak kecewa kerana sukan renang dianggap sebagai sukan yang melibatkan kontak. Perkara ini amat mengecewakan apabila sesetengah pesaing kami meneruskan latihan sebelum ini," kata Martin.

Turut terkesan bekas penerjun negara, Pardika Indoma yang menjalankan kelas renang di Kepong selepas bersara pada 2012.

Latihan terpaksa dihentikan sejak Mac lalu hingga memaksa Pardika mencari jalan lain untuk meneruskan hidup.

"Larangan ini memberikan impak yang besar kepada akademi renang di Malaysia kerana mereka tidak dapat menampung kos pembiayaan. Saya percaya kebenaran daripada pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan membenarkan kami untuk meneruskan kelangsungan mata pencarian," kata Pardika.

Untuk rekod, abang kepada Pandelela Rinong itu mewakili skuad terjun negara selama tiga tahun hingga 2012 dan pernah meraih pingat emas acara 10 meter terjun seirama Piala Asia 2011 bersama Ooi Tze Liang.