Astro Arena melangkah setapak lagi apabila dilantik selaku penyiar rasmi Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 susulan kejayaan liputan meluas Sukan Olimpik dan Paralimpik Rio 2016.

Perkembangan ini satu pengiktarafan untuk Astro Arena -- saluran sukan pertama di Malaysia yang ditubuhkan pada 2010.

Astro Arena akan bekerjasama dengan dua lagi stesen televisyen tempatan bagi memastikan liputan terbaik untuk tatapan lebih 600 juta penduduk Asia Tenggara.

Sejak ditubuhkan, Astro Arena pernah membuat liputan tiga temasya Sukan SEA, iaitu Indonesia pada 2011, Myanmar 2013 dan Singapura, tahun lalu.

Dengan itu, ini pengiktirafan terbesar untuk Astro Arena dalam sejarah temasya sukan dwitahunan itu.

"Apa yang kami lakukan adalah untuk cuba mengimbangi sukan yang bukan sahaja popular di Malaysia tetapi termasuk juga sukan lain di rantau ini agar mereka berpeluang untuk menyerlah.

"Begitu juga dengan penyiaran yang memberi makna yang cukup besar," ujar Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tunku Tan Sri Imran Tuanku Jaafar.

Sukan SEA Singapura tahun lalu mencatatkan hampir 400 juta penonton sepanjang temasya itu berlangsung.

"Perancangan kami adalah untuk menyiarkan pertandingan di 14 venue secara siaran langsung.

"Bukan setakat 14 jenis sukan sahaja tetapi bergantung kepada jadual Sukan SEA.

"Ia akan memberi laluan untuk kami menukar venue bagi tujuan membuat lebih banyak liputan sukan lain yang boleh mencapai 19 hingga 20 acara secara siaran langsung, berbanding 14 venue awal yang ditetapkan.

"Ia turut bergantung bagaimana kami dapat berkongsi kemudahan-kemudahan yang ada nanti," jelas Pengurus Besar Astro Arena, John Nienaber.

Ini kali ketujuh Malaysia dilantik sebagai tuan rumah Sukan SEA, termasuk ketika dikenali sebagai Sukan SEAP.

Sehubungan itu, dalam menjanjikan aksi dan liputan terbaik sepanjang temasya yang akan dilangsungkan dari 19 hingga 31 Ogos 2017 itu nanti, Astro bersama-sama kontinjen negara dan Kuala Lumpur sedang giat membuat persediaan yang diperlukan dalam usaha menjayakan Sukan SEA yang berbaki 286 hari lagi.