Pelari jarak jauh para negara, Ashraf Haisham, adalah antara nama yang bakal dimasukkan ke dalam Program Podium berdasarkan prestasi cemerlangnya menyumbang dua pingat emas dan satu perak dalam Sukan Para ASEAN, bulan lalu.

Jika namanya diterima ke dalam Program Podium, ia adalah titik permulaan untuk Ashraf mengorak langkah lebih panjang untuk mengutip kejayaan lebih besar di peringkat tertinggi.

Mengakui dia turut mendengar berita namanya antara pilihan yang akan diserapkan ke program elit itu, Ashraf tidak mahu terlalu gembira selagi pengesahan rasmi belum diumumkan.

Bagaimanapun, merujuk kepada prestasi atlet kelahiran Perak itu, ternyata dia memiliki kredibiliti luar biasa dan mampu menyerlah di peringkat Kejohanan Dunia IPC mahupun Sukan Paralimpik.

“Saya sangat bersyukur jika terpilih untuk berada dalam Program Podium dan ia bakal menjadi pembakar semangat untuk saya mencipta kejayaan dalam Sukan Asia,” kata atlet yang kehilangan tangan kirinya itu dalam kemalangan motosikal, empat tahun lalu.

Ashraf sering berkongsi perasaan untuk muncul sebaris dengan tiga ikon atlet para negara seperti Ziyad Zolkefli, Abdul Latif Romly dan Ridzuan Puzi.

“Selepas meraih kemenangan dalam Sukan Para ASEAN, ia telah meningkatkan semangat saya untuk terus memperbaiki prestasi. Saya berharap dapat meneruskan momentum ini dalam kejohanan akan datang," katanya.

Selain daripada Ashraf, atlet lontar peluru para wanita negara, Hermala Devi, juga antara calon yang bakal mengisi Program Podium selepas ini.