Kuartet 100 meter lelaki negara meraih pingat perak dalam Sukan Sekolah-Sekolah ASEAN (ASG) 2019 di Semarang, Indonesia, sebentar tadi.

Kuartet Helmi Zaquan, T. Loganesh, Muhammad Muzakkir Reza Khalili dan Muhammad Azeem Mohd Fahmi, dilihat sebagai harapan buat kontinjen negara untuk terus memburu pingat emas dalam saingan kali ini.

Malaysia bermula baik, namun kuartet Thailand dan Indonesia mendahului perlumbaan sebelum Muzakkir mengejar saingan sebelum melepaskan baton kepada Azeem.

Azeem -- yang memenangi acara 200m -- gagal untuk bersaing dengan pelari terakhir Indonesia, Adith Rico Pradana, sebelum menamatkan perlumbaan di tempat kedua sementara Thailand di tempat ketiga.

Selepas menamatkan larian, Azeem menjelaskan bahawa Malaysia turun beraksi tanpa pelari utama, Muhammad Arsyad Md Saad, yang mengalami kecederaan.

"Malaysia beraksi dengan barisan kuartet kedua kerana rakan sepasukan, Arsyad, mengalami kecederaan namun berjaya menamatkan saingan di tempat kedua. Ternyata sasaran emas bagi acara ini tidak berjaya dihasilkan tetapi kami akan cuba lagi pada tahun akan datang," kata Azeem.