Ketua jurulatih silat Sukan Sekolah-Sekolah ASEAN (ASG) 2019, Shahrul Fahmi Abu Bakar, meminta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) agar memberi tumpuan terhadap sukan subjektif, termasuk menghantar wasit juri jika mahu merampas gelaran juara keseluruhan di Filipina tahun depan.

Malaysia perlu mengurangkan risiko menjadi mangsa sukan subjektif dengan membuat persiapan lebih rapi.

Antaranya, menghantar wasit juri seperti dilakukan Thailand, Laos dan Vietnam bagi mengurangkan rasa tidak puas hati terhadap keputusan wakil tuan rumah.

"Jika kita tidak baiki aspek pengadilan, saya rasa atlet kita tidak akan ke mana-mana.

"Kami juga sepatutnya menghantar wasit juri," katanya.

Silat antara sukan yang gagal mencapai sasaran emas susulan meraih empat pingat perak dan empat gangsa.

Pada awalnya, Malaysia dijangka mampu meraih tiga emas dengan kehadiran pesilat remaja kebangsaan.

Turut gagal mencapai sasaran emas adalah olahraga, badminton dan sepak takraw.

"Separuh atlet yang dihantar kali ini boleh beraksi dua hingga tiga edisi lagi dan untuk itu, kami boleh mencapai misi juara keseluruhan pada masa akan datang," katanya lagi.

Sementara itu, kontinjen negara dibawa meninjau ke beberapa tempat bersejarah di sekitar venue temasya di Semarang, Indonesia, hari ini.

"Saya terkejut betapa luasnya tempat ini, malah kami sempat bertukar-tukar jersi dengan atlet negara lain," kata atlet olahraga negara, T. Loganesh, yang ditemui di Kuil Sam Poo Kong, pagi tadi.