Agensi Anti-Doping Amerika Syarikat (USADA) dan Unit Integriti Olahraga sedang menyiasat tuduhan bahawa anggota pasukan Justin Gatlin menawarkan untuk membekalkannya dadah perangsang prestasi.

Semalam, The Daily Telegraph melaporkan anggota rombongan juara dunia 100 meter itu menyatakan mereka boleh mendapatkan preskripsi ubat dengan menggunakan nama palsu dan menyeludup bahan terlarang itu ke Amerika Syarikat (AS).

Jurulatih Gatlin, Dennis Mitchell, dan ejen olahraga, Robert Wagner, didakwa telah memberitahu wartawan yang menyamar di kem latihan Gatlin di Florida bahawa mereka boleh membekal dan menguruskan bahan testosteron dan hormon pertumbuhan manusia daripada doktor di Austria dengan harga AS$250,000 (RM1.1 juta).

Wartawan itu menyamar sebagai wakil daripada sebuah syarikat pengeluaran yang ingin membuat filem tentang olahraga dan mencari bantuan untuk mendapatkan pelakon utama.

Gatlin, yang dilihat bersama salah seorang wartawan yang menyamar, dilaporkan telah memecat jurulatihnya itu serta menafikan sebarang kesalahan.

USADA dalam kenyataannya mengesahkan siasatan itu dan menyatakan atlet berusia 35 tahun itu yang sebelum ini gagal dalam ujian doping pada 2001 dan 2006, tidak bersalah melainkan terbukti sebaliknya.

Kenyataan itu berbunyi: "Siasatan yang diberikan oleh pemberi maklumat memainkan peranan penting dalam usaha anti-doping. Kami sedang bekerjasama dengan Unit Integriti Olahraga untuk menyiasat sepenuhnya dakwaan ini.

"Seperti dalam semua siasatan, kami menggalakkan individu yang mempunyai maklumat untuk tampil sebagai komponen penting untuk membantu melindungi atlet yang bersih.

"Yang penting, seseorang individu itu tidak bersalah sehingga proses itu menentukan sebaliknya. Adalah adil untuk membiarkan proses yang sewajarnya berlaku sebelum membuat sebarang kesimpulan."

Ketua Unit Integriti Olahraga, Brett Clothier, berkata: "Tuduhan-tuduhan ini sangat serius dan menguji integriti atlet. Kod Anti-Doping IAAF dan Anti Tingkah Laku tidak hanya untuk atlet, bahkan untuk kakitangan sokongan atlet.

"Unit Integriti Olahraga akan menyiasat perkara ini dengan kerjasama USADA dan kami berharap Daily Telegraph akan memberikan maklumat untuk membantu kes ini.

"Penggunaan kaedah dan ubat-ubatan baru sentiasa menjadi cabaran untuk pergerakan anti-doping dan ia berterusan sehingga hari ini.

"Dalam era ini, kami memahami bahawa kami tidak boleh bergantung kepada ujian semata-mata untuk mempertahankan sukan terhadap doping, kedua-dua pihak akan menyiasat dan melaksanakan dasar itu untuk memenuhi cabaran sedemikian," katanya.

Ketika dihubungi Omnisport, Wagner menjelaskan dia akan mencari penasihat undang-undang.

Insiden itu membuatkan Gatlin dipandang serong sebagai atlet biarpun dia mempertahankan gelaran 100 meter dengan mengetepikan Usain Bolt dalam Kejohanan Olahraga Dunia di Stadium London, Ogos lalu.