Bintang berbasikal yang memalukan, Lance Armstrong, mengakui dia pertama kali menggunakan ubat peningkatan prestasi pada usia 21 tahun.

Tujuh gelaran Tour de France Armstrong ditarik balik dan dilarang seumur hidup pada tahun 2012 berikutan siasatan Agensi Anti-Doping Amerika Syarikat (USADA).

Setelah menafikan penipuannya berulang kali sepanjang kariernya, Armstrong akhirnya mengakui menggunakan bahan terlarang menerusi wawancara pada Januari 2013 bersama Oprah Winfrey.

Pencapaian pelumba kelahiran US telah lama menjadi perdebatan setelah dia pulih daripada barah testis untuk menguasai acara pita biru berbasikal dari 1999 hingga 2005.

Bagaimanapun, dalam dokumentari ESPN yang terbaru, LANCE, bekas atlet berusia 48 tahun itu mengesahkan dia telah lama menggunakan bahan terlarang, bermula daripada tahun pertama bergelar atlet profesional.

"Dalam terma melanggar peraturan, saya menggunakan bahan terlarang sejak berusia 21 tahun, tahun pertama saya bergelar atlet profesional," katanya.

"Pada masa itu dalam sukan ia dianggap sebagai kortison -- ubat-ubatan yang merangsang pengeluaran kortison daripada tubuh anda sendiri.

"Perbuatan ini sudah tertanam dalam budaya sukan."Armstrong terkenal kerana penggunaan Erythropoietin (EPO) dan telah bekerjasama dengna doktor berkontroversi, Michele Ferrari, -- menggambarkan ia sebagai ejen penambah darah sebagai 'tahap yang berbeza' dan menganggapnya sebagai 'bahan bakar' jika dibandingkan menggunakan dadah seperti kortison.

Dalam dokumentari itu, dia juga mengakui menggunakan hormon pertumbuhan manusia (HGH) pada tahun 1996 dan merenungkan apakah ini merupakan faktor dirinya mengidap barah.

"Anda tahu, saya tidak tahu jawapannya," katanya. "Saya tidak mahu mengatakan tidak, kerana saya juga tidak berfikir itu benar. Saya tidak tahu apakah perkara yang betul atau salah, tetapi saya pasti tidak akan mengatakan tidak.

"Satu-satunya perkara yang akan saya ceritakan adalah, saya pernah mengambil hormon pertumbuhan pada 1996."

Setelah kembali ke sukan berbasikal profesional pada tahun 1998, Armstrong menegaskan bahawa dia tidak khuatir tentang kemungkinan kesan buruk kepada seorang terselamat daripada kanser yang menggunakan EPO.

"Dalam banyak cara - dan ini tidak akan menjadi jawapan yang popular - EPO adalah ubat yang selamat," katanya. "Ia perlu diambil di bawah bimbingan pihak perubatan yang profesional, diambil dalam jumlah yang konservatif.

"Ada perkara yang jauh lebih buruk yang akan anda dapat berbanding EPO."

Armstrong yakin kejatuhannya adalah rahmat dan ketiadaan daripada pandangan umum mungkin benar-benar membawa manfaat, terutama bagi keluarganya.

"Lima tahun kebelakangan ini benar-benar menyebabkan saya berhenti sejenak dan cuba memahami, bukan hanya diri saya tetapi apa yang dimaksudkan dalam kisah ini kepada orang lain, apa makna kisah ini kepada dunia," katanya.

"Sekiranya saya bertanding hari ini, saya dapat memberitahu anda siapa rakan sebaya saya. Rakan sebaya saya adalah Michael Phelps, LeBron James, dan jadi saya melihat di mana mereka berada ... dan hanya sekarang saya sedar, 'di situlah anda berada'.

"Di situlah saya berada. Saya benar-benar tidak ketinggalan. Dan saya rasa, jika saya terus bersaing, ia adalah sesuatu yang tidak baik untuk keluarga saya."