Pemain tenis kerusi roda negara, Ariffahmi Zaquan Ariffin, mengharapkan tajaan daripada pihak luar untuk membantu mereka menyertai lebih banyak kejohanan luar negara sebagai pendedahan sebelum ke Sukan Para Asia Jakarta 2018.

Buat masa ini, Ariffahmi hanya berpeluang beraksi dalam tiga kejohanan di Sri Lanka dan dua di Korea Selatan sebelum menempuhi Sukan Para Asia.

Bersyukur sekurang-kurangnya ada kejohanan yang akan disertai, dia sebenarnya mahu lebih banyak kejohanan dapat disertai oleh skuad tenis kerusi roda negara.

Namun, kekangan dana menjadi penghalang buat Ariffahmi dan rakan-rakan walaupun ada menerima bantuan Majlis Sukan Negara (MSN).

"Saya mengharapkan lebih banyak kejohanan untuk mendapatkan pendedahan. Saya berharap untuk meraih tajaan bagi membantu kami beraksi di luar negara," katanya.

Sementara itu, jurulatih tenis kerusi roda negara, Mohd Nadir Mohd Ashraf, menjelaskan dia masih belum pasti berapa ramai pemainnya yang akan mengambil bahagian dalam Sukan Para Asia nanti.

Semuanya kerana format pertandingan tenis kerusi roda Sukan Para Asia masih belum diputuskan oleh penganjur.

"Kami masih lagi menantikan acara yang bakal dipertandingkan dalam Sukan Para Asia nanti. Ia merupakan saingan yang sukar apabila beberapa pemain berkualiti dari Jepun, China dan Korea akan turut beraksi. Kami akan cuba memberikan yang terbaik," jelas Nadir.