Pelari pecut negara, G. Aravinn Thevar, sudah berkira-kira untuk menambah satu lagi acara dalam kariernya sebagai atlet olahraga dengan memberi tumpuan kepada larian 400 meter.

Aravinn sebelum ini hanya aktif dalam acara pecut 100 dan 200 meter.

Begitupun, perancangan pada 2017 menyaksikan dia memberi perhatian khusus kepada 200m dan usaha itu berbaloi apabila berjaya memperolehi pingat gangsa dalam temasya KL2017.

Keputusan Aravinn, 24, untuk mencuba acara baru pula adalah hasil saranan jurulatih, M. Balamurugan, memandangkan kekurangan atlet negara yang menyinar dalam acara tersebut.

"Ini pun matlamat saya untuk masa depan.

"Saya akan memberi keutamaan kepada 200 dan 400m. Kita tengoklah nanti macam mana hasilnya (latihan 400m) pada tahun depan," kata atlet kelahiran Perak itu yang mencatat 21.26 saat dalam Sukan SEA Kuala Lumpur.

Bagi Aravinn, corak latihan 400m tidak banyak bezanya kerana dia bersedia menerima apa jua cabaran yang diberikan.

"Saya boleh menyesuaikan diri dengan corak latihan larian 400m. Kalau menjadi, saya akan cuba bertanding dalam acara itu.

"Kalau tidak, saya akan memberi fokus kepada 200m sahaja," ujarnya.