Kerahan tenaga sejak usia muda, mengabdikan diri dengan latihan harian bagi tempoh yang panjang dan menghadirkan kejayaan untuk negara ibarat tidak memberikan sebarang makna seandainya jika sampai pada satu tahap, kudrat mereka sudah tidak sama, sekali gus kehilangan status kebanggaan negara.

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Namun, itulah hakikat dan kepayahan yang sedang dilalui bekas atlet para negara yang kini tidak lagi diperlukan kudrat mereka.

Mengenali perwatakan dan kesungguhan mereka dalam lapangan sukan yang diceburi, timbul tanda tanya mampukah mereka memulakan bidang yang secara keseluruhannya berbeza daripada lapangan yang disertai sejak tempoh masa yang cukup panjang sebelum ini?

Sebagai individu yang begitu rapat dengan mereka, ketua jurulatih olahraga para negara, R. Jeganathan, tidak dapat lari daripada memikirkan nasib anak buahnya selepas khidmat mereka tidak lagi diperlukan.

"Ada dua tiga atlet datang kepada saya dengan menangis. 'Jurulatih, apa saya mahu buat selepas ini. Jurulatih jaga saya lapan hingga 10 tahun. Saya tahu sukan sahaja. Apa mahu buat lagi'.

"Saya tidak tahu bagaimana nak tolong mereka. Semasa kejohanan, semua orang tepuk tangan. Selepas masanya sudah sampai...," kata Jeganathan.

"Elaun membantu mereka untuk perbelanjaan harian dan mereka juga sanggup hantar wang kepada ibu bapa. Selepas ini, mereka tidak ada kerja. Saya pun berasa sedih bagaimana kehidupannya akan berlalu selepas ini.

"Mereka masih muda, umur baru 32, 35. Saya harap ada pihak yang tolong mereka, daripada segi apa pun mereka sanggup buat kerja.”

Sebagai contoh, Raduan Emeari, yang sudah bersama dengan skuad para negara sejak lebih daripada 15 tahun lalu, namun terpaksa akur dengan keputusan pihak tertinggi sehingga membuatkannya perlu mencari sumber yang lain sebagai rezeki keluarganya selepas ini.

Bagaimanapun, Raduan belum menemui sebarang penyelesaian untuk menjamin kelangsungan hidupnya selepas tidak lagi bergelar atlet para negara.

Sebelum ini, dia menerima elaun daripada Majlis Sukan Negara (MSN) sebanyak RM4,500 sebulan. Namun, tanpa jumlah itu selepas ini, bagaimana Raduan mahu menyara keluarganya, termasuk tiga anak yang masih kecil?

"Saya minta tolong, saya pun sudah berumur. Saya mengalah sahajalah. Saya redha sahajalah. Saya mengharapkan MSN (Majlis Sukan Negara) untuk mendapatkan saya kerja. Mana-mana syarikat pun tidak mengapa," ujar Raduan.

Situasi sama turut dihadapi seorang lagi bekas atlet para negara, Nurul Shakina Teh Abdullah, yang terpaksa menyanyi di kaki lima sekitar Kuala Lumpur demi menyara keluarga selepas tidak lagi bergelar atlet para negara.

Dia yang merupakan penyumbang dua pingat emas Sukan Para Asean Vietnam 2003 turut memecahkan rekod kejohanan dalam acara renang kategori B2. Namun, apabila menceritakan liku hidupnya yang terpaksa menerima hakikat terpinggir daripada kerjanya sebagai penyambut tetamu sebelum ini, Nurul tiada pilihan selain meneruskan sumber pendapatan kedua pada asalnya itu demi menjamin keluarganya.

"Saya tidak berhenti tetapi diberhentikan. Kalau fikir secara logiknya, siapa yang mahu nak berhenti kerja sebab ada anak lagi. Komitmen nak tanggung dua orang anak. Macam terpaksalah kerana berhenti secara terpaksa,” kata Shakina.