Astro Arena mengungguli tiga daripada enam pencalonan Anugerah Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) 2019 dalam majlis di Dewan Auditorium Akademi Badminton Malaysia (BAM), Bukit Kiara, sebentar tadi.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, berkenan menyampaikan titah menerusi satu rakaman video.

Baginda berharap SAM, yang ditubuhkan 1969, akan terus mempamerkan kematangan sekali gus menjadi pemangkin sukan negara selain berharap dapat memupuk masyarakat untuk menjalani aktiviti riadah bagi menjalani kehidupan yang sihat.

Wartawan Nadi Arena, Bazly Azmi, yang ditemani jurukamera, Azri Abdul Malik, diangkat selaku pemenang utama, Anugerah Sibel, yang disampaikan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Sri Reezal Merican Naina Merican.

Selain itu, karya Bazly turut diangkat sebagai Laporan Khas Terbaik sementara Zulhelmi Zainal Azam memenangi kategori Ulasan Berita Terbaik (Media Elektronik) di samping jurukamera, Mohd Nor Syafiq Safian, yang disampaikan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Norza Zakaria.

Sementara itu, Mohd Azizulhasni Awang mengetepikan empat atlet lain yang disenarai pendek bagi perebutan gelaran Atlet Terbaik.

Jaguh powerlifting negara kelahiran Sarawak, Bonnie Bunyau Gustin, yang mencipta sensasi menjuarai Kejohanan Dunia Para bagi kategori Bawah 65kg di di Kazakhstan dijulang sebagai Atlet Para Terbaik sekalipun menerima cabaran sengit daripada pemanah paralimpik, S. Suresh dan Wiro anak Julin selain atlet lontar peluru, Muhd Ziyad Zolkefli.