Perenang sensasi negara, Welson Sim, dan ratu berbasikal, Fatehah Mustapa, tersenarai sebagai pilihan utama Anugerah Olimpian, Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Khamis depan yang menyaksikan MOM menetapkan pencapaian dalam temasya KL2017 sebagai kriteria pemilihan.

Welson menjadi pilihan utama kategori lelaki apabila meraih dua emas, satu perak dan satu gangsa dalam temasya pada Ogos lalu itu.

Kelebihan utamanya adalah menerusi rekod baru temasya dalam acara 200 dan 400 meter gaya bebas sehingga dia dinobatkan atlet terbaik temasya KL2017.

Welson akan dicabar jaguh trek negara, Azizulhasni Awang, atlet terjun, Ooi Tze Liang, Muhammad Rafiq Ismail (boling tenpin) dan Yeap Wai Kin (wusyu).

Bagi saingan wanita, Fatehah diletakkan sebagai pilihan selepas meraih empat emas Sukan SEA yang turut membabitkan satu rekod kebangsaan dalam acara 500m ujian masa.

Pencabar terdekat, gimnas, Koi Sie Yan, meraih empat emas dan dua perak, namun tidak mencatat sebarang rekod kebangsaan.

"Sukan-sukan ini adalah di bawah bidang kuasa kami. Bukan semua kejohanan dalam setiap sukan itu di bawah jawatankuasa kami," ujar Setiausaha Agung, Datuk Low Beng Choo.