Anugerah Olahragawan UPM 2019 hadiah persaraan bermakna buat Lutfi

Oleh Bernama 12 Ogos 2020 96
Anugerah Olahragawan UPM 2019 hadiah persaraan bermakna buat Lutfi
Kejayaan dinobatkan sebagai penerima Anugerah Olahragawan Universiti Putra Malaysia (UPM) 2019 menjadi hadiah persaraan paling bermakna untuk bekas penembak kebangsaan, Mohamad Lutfi Othman.

Atlet berusia 26 tahun itu yang kini bertugas sebagai pegawai perhubungan sukan di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, tidak menyangka dapat memenangi anugerah berkenaan kerana menyifatkan saingan sengit untuk kategori berkenaan.

“Saya terkejut, namun bersyukur kerana ini satu penghargaan amat bermakna daripada UPM kepada saya.

"Saingan agak sengit kerana terdapat beberapa calon lain seperti dua pemain hoki kebangsaan, Syed Syafiq Syed Cholan dan Muhammad Najmi Farizal Jazlan, turut mempamerkan aksi terbaik pada tahun lalu,” katanya dalam Majlis Anugerah Sukan ke-36 UPM di Serdang, hari ini.

Dalam pada itu, Mohamad Lutfi yang mengambil keputusan bersara daripada skuad kebangsaan pada bulan lalu, tidak berhasrat untuk kembali membidik dalam tempoh terdekat kerana ingin fokus dengan tugasannya di MSN.

Sementara itu, penyerang skuad hoki wanita kebangsaan, Hanis Nadiah Onn, menyifatkan kejayaan memenangi anugerah Olahragawati UPM 2019 sebagai pembakar semangat untuknya meneruskan kecemerlangan  bersama skuad kebangsaan dalam beberapa kejohanan pada tahun depan.

“Saya rasa gembira kerana sebelum ini saya hanya tercalon dalam senarai akhir untuk anugerah ini. Memang saingan agak sengit kerana kesemua calon merupakan atlet elit kebangsaan.

"Jika diberi peluang beraksi di luar negara, mungkin saya akan pergi. Saya harap UPM dan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) dapat memberi sokongan sekiranya saya diberi peluang beraksi bersama kelab di luar negara,” kata atlet berusia 24 tahun itu yang sebelum ini pernah beraksi dengan kelab Jerman, Zehlendorfer Wespen.

Kedua-dua atlet itu yang merupakan penuntut jurusan Bahasa Moden dan Komunikasi UPM, menerima blazer UPM, wang tunai RM3,500, piala pusingan, piala iringan, jam tangan serta baucar barangan sukan tajaan Zecon Sport & Fitness yang disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPM, Prof Dr Mohd Roslan Sulaiman.

Antara pencapaian terbaik dilakar Mohamad Lutfi sepanjang 2020 adalah meraih dua pingat emas serta satu gangsa dalam edisi ke-43 Kejohanan Menembak Asia Tenggara di Jakarta, Indonesia, manakala Hanis Nadiah pula membantu skuad hoki wanita negara menduduki tangga ketiga dalam Kejohanan Siri Final Wanita  FIH  di Ireland. 

Senarai penuh pemenang:

Olahragawan: Mohamad Lutfi Othman (menembak)

Olahragawati: Hanis Nadiah Onn (hoki wanita)

Bintang Harapan Lelaki: Rozaimi Razali (taekwondo)

Bintang Harapan Wanita: An Najwa Azizan (bola jaring)

Pengurus Terbaik: Ruziana R. Mahmud (pengurus bola tampar lelaki dan wanita)

Jurulatih Terbaik: Khairizal Ali Amat (pengurus ragbi Serdang Angels)

Pasukan Lelaki Terbaik: Bola Tampar dan Ragbi

Pasukan Wanita Terbaik: Hoki dan Ragbi

Kelab Sukan Aktif: Besbol dan Skuasy

-- BERNAMA

 

Tentang Penulis

Bernama

Komen