Prestasi mantap atlet angkat berat negara, Mohd Hafifi Mansor, dan pelari pecut, S. Komalam Shally, tahun lalu menobatkan mereka sebagai Olahragawan dan Olahragawati Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 2016.

Hafifi bersaing rapat dengan atlet menembak negara, Ezuan Nasir Khan, yang turut tercalon sebelum dinobatkan selaku Olahragawan ATM 2016

Anugerah yang diberikan kepada Hafifi adalah berdasarkan kelayakannya beraksi di pentas Olimpik Rio pada Ogos tahun lalu buat kali pertama selain turut berjaya memecahkan rekod kebangsaan miliknya sendiri dalam kategori 69 kilogram.

Jelasnya, ia merupakan satu penghargaan daripada ATM selain sedikit-sebanyak mengubati kekecewaan yang menimpa dirinya tahun ini.

"Saya amat bersyukur di atas anugerah ini. Tahun 2017 amat mengecewakan buat saya dan kejayaan ini tidak akan memutuskan semangat saya," kata Hafifi.

Komalam juga menyifatkan ini satu pengiktirafan untuknya yang telah bersama ATM selama hampir 10 tahun, apatah lagi itu adalah anugerah pertama yang dimenanginya.

Olahragawati itu pernah merangkul empat pingat emas mewakili ATM dalam saingan olahraga Terbuka Malaysia tahun lalu.

Turut diraikan adalah jurulatih olahraga negara, M. Balamurugan, selaku Tokoh Jurulatih ATM 2016.

"Saya sangat gembira dengan pencapaian ini selepas bersama ATM selama 10 tahun," kata Komalam.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada ATM kerana memberikan saya ruang untuk memberikan tumpuan di Majlis Sukan Negara," kata Balamurugan pula.