Anugerah MOM: Azizulhasni, Amy Kwan dinobat Olimpian 2018

Oleh Penulis Jemputan 12 Disember 2018 213
Anugerah MOM: Azizulhasni, Amy Kwan dinobat Olimpian 2018
Jaguh berbasikal trek, Azizulhasni Awang, dan ratu gimrama, Amy Kwan Dict Weng, dinobatkan selaku Olimpian 2018 dalam Malam Anugerah Majlis Olimpilk Malaysia (MOM) di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur, sebentar tadi.

Kempen Sukan Komanwel Gold Coast dan Sukan Asia Indonesia merupakan kriteria penting pemilihan Olimpian Lelaki dan Wanita tahun ini.

Azizulhasni, dipilih selaku Olimpian Lelaki manakala kategori wanita pula menobatkan Amy.

Azizulhasni meraih pingat emas acara pecut dalam Sukan Asia Jakarta, Ogos lalu, selain perak dalam pecut berpasukan serta gangsa keirin individu.

Amy pula cukup menyerlah dalam Sukan Komanwel Gold Coast, April lalu, di mana dia meraih emas acara reben serta satu pingat perak dan dua gangsa.

Anugerah Istimewa pula dianugerahkan kepada pemenang pingat emas badminton perseorangan wanita Sukan Olimpik Remaja Buenos Aires 2018, Goh Jin Wei, serta skuad hoki remaja negara.

Setiap pemenang individu menerima ganjaran wang RM10,000 berserta pingat tajaan Coca-Cola manakala skuad hoki remaja membawa pulang ganjaran RM18,000 berserta trofi.

Hadiah disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen