Dua alumni, Lee Hup Wei (lompat tinggi) dan Farah Ann Abdul Hadi (gimnastik artistik), menerima pengiktirafan khas dalam Majlis Anugerah Gemilang Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) di ibu negara malam tadi.

Hup Wei dan Farah Ann diangkat sebagai Tokoh Sukan SSBJ, masing-masing bagi acara olahraga dan gimnastik.

Seorang lagi atlet yang turut mendapat pengiktirafan sama ialah penerjun senior negara, Leong Mun Yee.

Farah Ann menerima anugerah itu selepas kejayaannya melayakkan diri secara merit ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 untuk menjadi gimnas wanita pertama negara layak ke temasya itu selepas Au Li Yen melakukannya dalam edisi di Sydney pada 2000.

"Sebenarnya, mereka hanya menjemput saya sebagai alumni, jadi saya agak terkejut dan berterima kasih kepada SSBJ.

"Ini adalah sekolah saya dan amat baik untuk berjumpa murid-murid dan guru-guru di sini," katanya.

Sementara itu, Hup Wei pula dipilih berdasarkan pencapaian gemilangnya selaku atlet Malaysia pertama beraksi dalam final Kejohanan Olahraga Dunia di Doha, Qatar bulan lalu.

"Saya terkejut dengan anugerah ini.

"Saya tidak sangka akan meraihnya.

"Mungkin ia boleh dijadikan pembakar semangat untuk adik-adik yang lain," katanya.