Selepas menabur bakti sejak tiga tahun lalu, pakar pecut Terengganu Cycling Team (TSG), Anuar Manan, terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada pasukan bertaraf benua itu apabila kontraknya tidak disambung.

Anuar perlu menerima hakikat khidmatnya tidak diperlukan lagi, dengan semua pelumba TSG sudah menandatangani kontrak lanjutan.

Ia sekali gus menyaksikan pakar pecut berusia 31 tahun itu akan menjadi pelumba bebas pada 1 Januari 2018.

Situasi itu jelas mengecewakan Anuar yang mencatat sejarah menjadi pelumba pertama Malaysia yang menjuarai perlumbaan peringkat Le Tour de Langkawi (LTdL) 2010.

"Untuk tahun ini, kontrak saya telah tamat dan TSG tidak menawarkan kontrak baru kepada saya," katanya. "Saya sudah merangka perancangan sendiri."

Anuar antara pelumba terawal yang membentuk TSG pada 2011.

Setahun kemudian, dia menyertai Champion System yang berpangkalan di China, diikuti Synergy Baku (Azerbaijan) pada 2013 sebelum kembali ke pangkuan TSG pada 2014.

"Pasukan itu (TSG) berasal dari negeri saya dan dibina oleh saya sendiri bersama seorang bekas menteri.

"Buat TSG, saya tidak mahu ia terus terkubur dan diharapkan mereka akan dapat menghasilkan atlet-atlet bertaraf dunia," katanya.