Tonggak Terengganu Cycling Team (TSG), Anuar Manan dan Adiq Husainie Othman, sah meninggalkan pasukan bertaraf benua itu selepas beralih angin menyarung jersi Amskins Forca Racing untuk mengharungi Jelajah Siak di Indonesia yang berakhir semalam.

Anuar, Adiq dan tiga pelumba lagi bertindak membentuk Amskins Forca Racing, minggu lalu. Mereka membuat penampilkan pertama dalam Jelajah Siak yang menyaksikan Anuar menaiki podium dalam perlumbaan peringkat ketiga manakala Sofian Omar di tangga kedua untuk menyarung jersi kuning bagi juara keseluruhan.

Dua lagi pelumba yang menyertai Amskins Forca Racing ialah Olimpian, Amir Mustafa Rusli dan Ayman Zarif.

Pencapaian itu dianggap berjaya memandangkan ia penampilan sulung pasukan itu.

"Saya gembira dengan podium yang diraih Amskins kerana ini adalah perlumbaan pertama kami.

"Perlumbaan ini sangat mencabar dan saya gembira dengan perkembangan ini," ujar pelumba lebuh raya itu.

Tindakan Anuar dan Adiq itu satu langkah mengejutkan kerana TSG juga menawarkan mereka kontrak baru. Malah, Anuar ditawarkan jawatan jurulatih Akademi TSG.

"Amskins mahu berlumba dalam Le Tour de Langkawi (LTdL) tahun depan. Kami sudah mempunyai senarai pelumba dan penaja untuk menghadapi saingan tahun hadapan.

"Kami mengharapkan lebih banyak penajaan untuk memantapkan lagi pasukan ini," tambahnya.