Keputusan ratu berbasikal trek negara, Fatehah Mustapa, bersara benar-benar mengejutkan dunia berbasikal negara tetapi rakan sepasukannya, Anis Amira Rosidi, masih mengharapkan dia kembali ke pangkuan skuad kebangsaan.

Kembalinya Fatehah mungkin bukan sebagai atlet, tetapi dengan pengalamannya, dia mampu bergelar jurulatih dan sudah pasti, sebagai seorang yang fasih dengan selok belok dunia berbasikal antarabangsa.

"Pada saya, walaupun dia (Fatehah) telah tiada dalam pasukan tetapi kita tetap teruskan. Perasaan memang sedikit gementar apabila orang memerhatikan.

"Apapun saya tetap akan bertanya kepada dia. Saya menganggap dia bukan sebagai atlet tetapi sebagai kakak. Lagipun dia banyak membantu saya dalam banyak perkara dalam latihan dan perlumbaan.

Apabila ditanya mengenai status Fatehah yang mengambil krusus kejurulatihan, ini jawapan Anis,"Bagus, bukan untuk saya tetapi untuk perlumba muda yang lain. Jadi ini satu jalan yang terbaik untuk dia dan dia boleh memberikan kami nasihat dan motivasi kepada kami. Mungkin dia boleh berkongsi dengan perlumba muda dengan pengalaman dia.

"Jurulatih juga ada maklumkan kepada kami bahawa basikal trak tidak dipertandingkan di Sukan SEA nanti. Pada saya tidak ada sebarang masalah kerana jurulatih telah memberitahu dimana saya perlu fokus kepada Kejohanan Berbasikal Asia (ACC), Sukan Komenwel dan Sukan Asia," kata Anis kepada Nadi Arena.