Angkat Berat: MSWP tetap bayar elaun atlet

Oleh Muzaffar Musa 8 April 2020 33
Angkat Berat: MSWP tetap bayar elaun atlet
Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) tidak berhasrat untuk memotong elaun mana-mana atlet di bawah naungannya, termasuk atlet angkat berat biarpun sukan itu belum pasti dapat dipertandingkan dalam Sukan Malaysia (Sukma) di Johor tahun depan.

Presiden Persekutuan Angkat Berat Wilayah Persekutuan, Ahmad Janius Abdullah, mengesahkan bahawa pihaknya sudah menerima surat pekeliling itu daripada MSWP.

Jelasnya, walaupun status sukan itu dalam Sukma tahun depan masih samar memandangkan ia bakal dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukma, latihan atlet tetap berjalan di rumah dan bergantung kepada program yang direncanakan oleh jurulatih masing-masing sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).

Kelmarin, sukan angkat berat negara menerima tamparan hebat apabila Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) digantung selama setahun oleh Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF) kerana isu doping, yang mengakibatkan atlet negara tidak dibenarkan untuk beraksi dalam kejohanan antarabangsa, termasuk Sukan Olimpik Tokyo tahun depan.

"MSWP telah menghantar surat rasmi berkenaan hal pemotongan (elaun) berdasarkan arahan daripada Menteri Wilayah Persekutuan," kata Janius.

"Pasukan (angkat berat) Wilayah Persekutuan tetap meneruskan latihan kerana MSWP dan kementerian masih meneruskan pembayaran elaun seperti biasa."

Dalam masa sama, Janius turut berharap jawatankuasa itu dapat mempertimbangkan untuk melonggarkan syarat penyertaan atlet ke Sukma memandangkan penundaan temasya itu ke tahun depan mengakibatkan mereka kehilangan beberapa tonggak utama.

Saingan Sukma sebelum ini menetapkan penyertaan setiap atlet perlu berusia 21 tahun dan ke bawah.

"Kami harap-harap begitulah dan kami juga ada memohon kepada pengurusan MSWP supaya perkara ini dapat diketengahkan.

"Ia supaya atlet yang sudah melebihi had umur masih dapat bertanding buat kali terakhir," tambahnya.

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen