Badang negara, Aznil Bidin, bertekad membalas kepercayaan Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) jika rayuan untuk membenarkannya menyertai kejohanan kelayakan Sukan Olimpik Tokyo diterima.

Begitupun, pastinya dia berdepan tugas sukar sama ada kedudukan ranking yang agak jauh selain pendirian Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF) yang bukan mudah untuk dipujuk.

PABM akan menghantar rayuan kepada badan induk dunia itu bagi membenarkan atlet berusia 26 tahun tersebut menyertai dua lagi kejohanan kelayakan ke temasya pada Julai 2021 kelak.

IWF pada minggu lalu mengumumkan wakil Malaysia tidak akan dibenarkan menyertai temasya di Jepun itu ekoran kes doping, namun Aznil menganggap tugasnya masih belum selesai.

"Terima kasih kepada PABM kerana membuat rayuan untuk membolehkan saya berpeluang beraksi dalam Sukan Olimpik.

"Saya mahu membuktikan kemampuan dengan meraih ranking terbaik dalam kejohanan kelayakan Sukan Olimpik," katanya, yang menghuni ranking ke-36 kategori 61 kg, ketika ditemu bual wartawan Nadi Arena, Bazly Azmi, hari ini.

IWF belum mengumumkan kejohanan yang menawarkan mata kelayakan ke temasya itu ekoran situasi pandemik ketika ini.

Apa pun, Aznil berdepan tugas sukar dimana dia perlu sekurang-kurangnya menamatkan cabaran di ranking 14 terbaik dunia sambil mengharapkan keajaiban agar IWF mengubah fikiran dan menerima rayuan itu.