Jaguh lompat jauh negara, Andre Anura Anuar, kecewa apabila Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) bersikap lepas tangan.

Badan induk itu bukan sahaja belum membayar ganjaran di atas kejayaannya memecahkan rekod kebangsaan, malah mereka seperti acuh tidak acuh mengenai persiapan enam atlet olahraga, termasuk dirinya, untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo tahun depan.

Atlet kelahiran Sabah itu memecahkan pecah rekod lompat jauh kebangsaan selepas mencatatkan 8.02 meter untuk meraih pingat perak dalam Sukan SEA Filipina tahun lalu.

Dia mengatasi rekod berusia 12 tahun milik Josbert Tinus, sekali gus muncul atlet pertama negara melepasi jarak 8 meter.

Berdasarkan amalan KOM, setiap atlet yang memecahkan rekod kebangsaan akan menerima imbuhan RM1,000 tetapi selepas enam bulan, masih tiada sebarang perkembangan mengenai pembayaran.

"Saya rasa kalau sudah berjanji, ia patut ditunaikan kerana janji itu sudah pasti akan memberikan motivasi," katanya kepada wartawan Nadi Arena, Bazly Azmi.

"Tetapi selepas saya dapat (pecahkan rekod kebangsaan), ia tidak ditunaikan, jadi saya seakan-akan terpaksa untuk menerimanya.

"Sebagai persatuan, mereka perlu menjalankan tanggungjawab mereka.

"Berilah motivasi daripada segi insentif.

"Sama juga daripada segi latihan.

"Walaupun kami tiada dalam Prgram RTT (Road to Tokyo), kalau dapat berlatih bersama di sekitar Stadium Bukit Jalil juga sudah cukup baik," katanya.

Presiden KOM, Datuk S. M. Muthu, dalam pada itu, menjelaskan pihaknya sedang mengumpulkan maklumat mengenai senarai atlet yang sepatutnya menerima ganjaran.

Realitinya, tiada hitam putih mengenai ganjaran itu kerana ia merupakan amalan presiden terdahulu, Datuk Karim Ibrahim, cuma perkara baik itu akan tetap diteruskan.

"Saya mengambil alih persatuan ini pada Jun tahun lalu, jadi buat masa ini, kami sedang mengumpulkan maklumat dan akan memaklumkannya kelak.

"Memang kami akan meneruskan tradisi memberikan intensif ini," katanya.