Skuad ragbi negara pulang ke tanah air pada 28 Mac lalu selepas dua minggu menjalani latihan serta perlawanan persahabatan di New Zealand.

Mereka kini dalam fasa akhir latihan menjelang aksi pembuka tirai saingan Asia Premier menentang Korea Selatan, hujung bulan ini.

Mengakui sudah mempunyai bayangan 15 pemain utama sempena pertemuan berkenaan, ketua jurulatih negara, Lee Nyuk Fah, menjelaskan kemampuan mereka akan dinilai dalam perlawanan pemanas badan dengan Pilihan ATM di padang Universiti Putra Malaysia (UPM), 18 April nanti.

"Sudah tentu kami mahu meningkatkan teknik, terutama ketika scrum sewaktu bertemu pasukan besar.

"Kami harus memperbaiki bukan sekadar teknikal dan taktikal, malah ia melibatkan kecergasan pemain," kata Nyuk Fah.

Di atas kertas, Malaysia berdepan cabaran sukar dengan Hong Kong untuk melengkapkan senarai tiga pasukan yang akan berentap memburu kejuaraan musim ini.

Begitupun, Nyuk Fah percaya keputusan positif ke atas Korea Selatan dalam aksi pertama dapat memberikan lonjakan semangat buat pemain negara biarpun pasukan lawan ketika ini berdepan masalah tersendiri.

"Kami harus bersedia untuk berdepan siapa sahaja lawan, tidak kira dalam apa keadaan sekalipun.

"Saya percaya jika Korea Selatan mempunyai masalah, pemain-pemain akan lebih bermotivasi untuk beraksi lebih baik menentang Malaysia.

"Pemain-pemain Korea Selatan sangat dikenali dengan disiplin yang tinggi serta tahap kecergasan terbaik," katanya.