Jurulatih skuad bola jaring negara, Aminah Asaari, kini boleh memberi tumpuan sepenuhnya dalam melatih skuad kebangsaan menghadapi Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 apabila sudah menerima pelepasan daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP).

Aminah sebelum ini dalam dilema kerana belum mendapat pelepasan daripada Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan SPP untuk melatih skuad bola jaring negara.

Beliau yang bertugas sebagai guru di Johor Bahru terpaksa berulang-alik ke Kuala Lumpur setiap minggu demi melaksanakan tugasnya sebagai ketua jurulatih.

Aminah kini mampu menarik nafas lega apabila pihak KPM dan SPP sudah pun memberi lampu hijau untuknya menumpukan tugas melatih skuad bola jaring negara secara sepenuh masa.

"Setakat ini, bulan Disember cuti sekolah, jadi saya berada di Kuala Lumpur sepanjang masa.

"Untuk bulan Februari dan seterusnya hingga berlangsungnya Sukan SEA 2017, perlu ada usaha lain supaya saya dapat kekal melatih skuad bola jaring di Kuala Lumpur," jelas Aminah.

Memandangkan sasaran emas telah pun ditetapkan Persatuan Bola Jaring Malaysia (PBJM) untuk Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Aminah mempunyai tugas getir untuk menebus kembali kekecewaan tewas di tangan Singapura dalam aksi final ketika Sukan SEA 2015.

"Setakat yang telah kami rancangkan bagi tahun 2017, kami telah menjemput skuad Thailand bagi menjalani perlawanan ujian.

"Pada bulan Mac, kami akan ke Hong Kong bagi menyertai Kejohanan Tiga Negara dan seterusnya kami akan ke Australia bagi menjalani latihan pendedahan pada Mei nanti," tambahnya.