Jurulatih bola jaring negara, Aminah Asaari, mengharapkan adunan pemain baru dalam skuadnya mampu untuk menggapai pingat emas dalam Sukan SEA 2017 setelah berputih mata dalam temasya di Singapura tahun lalu.

Daripada 20 pemain dalam skuad kebangsaan ketika ini, lima daripada mereka adalah pemain muda.

Meskipun kebanyakannya tidak mempunyai pengalaman luas di peringkat antarabangsa, namun Aminah yakin barisan muda ini tidak mempunyai masalah untuk menyesuaikan diri kerana sudah biasa beraksi dalam sirkit kebangsaan.

“Setiap atlet yang dipilih menyertai skuad kebangsaan, mereka tidak menghadapi masalah dan pemain-pemain senior banyak memberikan tunjuk ajar untuk mereka membiasakan diri dalam pasukan,” kata Aminah.

Antara pemain muda yang tersenarai dalam skuad kebangsaan adalah Karishma Loganathan yang beraksi di posisi penjaring.

Walaupun hanya berusia 17 tahun dan terpaksa bersaing dengan lima lagi penjaring dalam pasukan seperti Nur Izyan Syazana dan Norasyikin Kamalzaman, dia tidak akan mudah menyerah bagi merebut tempat dalam skuad utama.

“Kelemahan saya adalah bersaing dengan pemain lain secara fizikal, jadi saya perlu mempertingkatkan ketangkasan dalam permainan saya,” ujar Karishma.

Fasa akhir pemilihan adalah pada bulan Mac, dan hanya 12 pemain yang akan tersenarai dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.