Kejutan berlaku dalam Kejohanan Juara Antara Juara dalam kategori wanita apabila pemain pelapis boling padang negara, Nurul Alyani Jamil, muncul juara di Kompleks Sukan Nasional Bukit Kiara, petang tadi.

Alyani yang mewakili Malaysia J tidak tersenarai ke Sukan Komanwel Gold Coast, namun mengejutkan pemain Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM), Syafiqa Haidar Afif Abdul Rahman, dengan keputusan straight set 2-0.

"Dalam tiga tahun kebelakangan ini, saya asyik terkandas dalam separuh akhir. Tetapi kali ini, saya berjaya dalam final.

“Saya cukup gembira kerana dalam SUKIPT baru-baru ini, saya memenangi pingat gangsa. Saya sasar untuk mewakili Malaysia dalam Kejohanan Juara Antara Juara,” kata Alyani.

Kategori lelaki pula dimenangi oleh Zulhilmie Redzuan selepas mengecewakan pemain perseorangan utama negara, Mohd Soufi Rosli, melalui kemenangan 2-1.

"Bukannya untuk menewaskan sesiapa tetapi ia lebih kepada persediaan saya untuk Sukan Komanwel nanti. Ini kemenangan yang tidak dijangka sebenarnya. Ini adalah pencapaian tertinggi untuk single kerana sebelum ini saya fokus kepada berpasukan,” ujar Zulhilmie.

Mereka berdua akan mewakili negara dalam Kejohanan Antarabangsa Juara Antara Juara pada 29 Oktober hingga 6 November depan di Sydney, Australia.