Ketua Pengarah, Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, memberi tempoh hingga 30 Januari ini untuk barisan atlet meneliti dan menandatangani kontrak Sistem Tier bagi mengelakkan salah faham seperti yang dialami bekas penembak kebangsaan.

Seramai 434 atlet negara akan menggalas sasaran berbeza mengikut kluster Sistem Tier.

Mereka perlu memahami hak dan sasaran yang diletakkan MSN agar dapat memuaskan hati kedua-dua pihak.

Ia juga bagi mengelakkan tindakan saman seperti yang dialami Program Podium.

"Setiap sukan mempunyai pengurus mereka sendiri.

"Setiap atlet juga bernaung di bawah persatuan masing-masing.

"Ia terpulang kepada mereka untuk mencari peguam peribadi.

"Kami mempunyai pegawai yang akan menjawab segala persoalan yang mereka mahu tanyakan.

"Ia sangat terbuka dan tidak bersifat eksklusif," katanya.

Bekas penembak negara, Muslifah Zulkifli, Nur Ayuni Farhana Abd Halim dan Nur Suryani Mohd Taibi, mengambil tindakan menyaman Institut Sukan Negara (ISN), tahun lalu, kerana tidak berpuas hati dengan cara mereka digugurkan daripada Program Podium.

Program sukan termahal itu kemudian ditamatkan dan digantikan dengan Sistem Tier dengan misi meraih pingat emas dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020.