Bekas perenang negara, Allen Ong, menyokong tindakan Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) mendapatkan khidmat jurulatih luar negara kerana program pembangunan ketika ini tidak cukup untuk membantu jurulatih tempatan menggalas tugas itu.

ASUM dan Majlis Sukan Negara (MSN) perlu menetapkan Indeks Prestasi Utama (KPI) yang sesuai dengan gaji jurulatih asing.

Buat masa ini, program pembangunan tidak cukup untuk melahirkan ramai perenang berkualiti seperti Welson Sim atau Phee Jinq En dalam skuad kebangsaan.

Jadi, Allen bersetuju dengan usaha ASUM mendapatkan khidmat jurulatih asing untuk membentuk perenang sedia ada.

"Tindakan ASUM mendapatkan khidmat jurulatih dari luar negara merupakan langkah yang tepat. Dalam masa sama, mereka juga perlu mendapatkan dua atau tiga pelatih tempatan untuk bekerjasama dengan jurulatih luar negara tersebut," kata Allen.

ASUM dan MSN sudah menemuduga Bart Kizierowski dari Poland dan Chris Martin (Amerika Syarikat).

Ia susulan perletakan jawatan Paul Birmingham, September lalu.

Tugas penting pengendali negara ialah membantu perenang layak ke Kejohanan Dunia dan Sukan Olimpik Tokyo 2020.