Penembak negara, Alia Sazana Azahari, kembali fokus dalam persiapan menghadapi Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia pada April depan selepas berehat panjang sejurus berakhir Sukan SEA Kuala Lumpur, Ogos lalu.

Alia terpaksa berehat selama dua bulan kerana mengalami masalah kesihatan.

Dia, bagaimanapun, sudah kembali menjalani latihan hari ini dan tampak sudah bersedia untuk melakukan persediaan mantap ke Sukan Komanwel 2018.

Cemerlang ketika Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur, dia sememangnya menjadi harapan skuad menembak negara untuk menyinar di Gold Coast nanti.

“Saya akan berusaha untuk kembali mendapatkan sentuhan terbaik dan cuba mendapatkan bayangan saingan di Gold Coast,” katanya.

Alia memburu penampilan kedua di pentas Sukan Komanwel selepas beraksi buat kali pertama di Glasgow, tiga tahun lalu.

Ketika itu, penembak kelahiran Terengganu berusia 26 tahun itu sekadar meraih tempat keempat dalam acara 25 meter pistol wanita.

“Saya akan cuba perbaiki kelemahan saya dan meletakkan sasaran yang khusus bagi menghadapi Sukan Komanwel,” ujarnya.