Ali Reza tuntut usaha keras atlet karate

Oleh Penulis Jemputan 1 Disember 2018 47
Ali Reza tuntut usaha keras atlet karate
Jurulatih baru skuad karate negara, Ali Reza Souleymani, menuntut kerja keras barisan atletnya untuk menyesuaikan diri dengan perubahan drastik corak latihan yang bakal dilakukannya dalam masa singkat sebagai persiapan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Tugas berat menanti jurulatih dari Iran itu apabila perlu bertarung dengan masa untuk menerapkan teknik latihan baru sebelum mereka mula berdepan kejohanan penting untuk mengumpul mata, iaitu kelayakan ke Olimpik Tokyo.

Ali Reza yang pernah membimbing skuad negara pada 1998 hingga 2002, bagaimanapun, percaya dengan potensi atlet untuk menerima tunjuk ajarnya yang jauh berbeza dengan bekas jurulatih, Andris Vasiljevs.

Malah, dia sendiri tahu sejauh mana kemampuan atlet negara apabila pernah menyaksikan pertarungan mereka dalam Sukan SEA 2013 sewaktu mengendalikan pasukan Myanmar.

"Saya mahu melakukan perubahan terhadap banyak perkara kerana Malaysia memiliki potensi bagus. Saya telah berkhidmat dengan banyak juara, termasuk gelaran dunia," ujarnya.

Ali Reza tiba di Malaysia hari ini untuk menguruskan kontraknya bersama Majlis Sukan Negara (MSN).

Jurulatih berusia 60 tahun itu dijangka memulakan tugas bersama skuad negara minggu depan.

"Saya sangat gembira kerana menghadirkan atlet emas pertama sebelum ini. Saya tahu Malaysia berpotensi untuk terus meningkat."
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen