Ali Reza dilantik pengganti Vasiljevs

Oleh Staff Writer 29 November 2018 375
Ali Reza dilantik pengganti Vasiljevs
Jurulatih dari Iran, Ali Reza, dilantik selaku ketua jurulatih skuad karate negara bagi menggantikan Andris Vasiljevs yang ditamatkan kontrak sebelum ini.

Beliau akan memulakan tugas secara rasmi, bulan depan. 

Persekutuan Karate Malaysia (Makaf) mengikat kontrak dua tahun bersama jurulatih itu untuk misi meraih pingat emas Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Ali pernah membimbing skuad negara dari 1998-2002 dengan pencapaian terbaiknya membantu Malaysia memenangi pingat dalam Kejohanan Dunia, 16 tahun lalu.

Kepakarannya kembali ditagih dalam membantu mempersiapkan atlet ke Sukan Olimpik Tokyo 2020. 

Tugas pertama Ali adalah Liga Premier Karate 1 di Paris, 25 Januari depan. 

"Beliau pernah mengendalikan skuad karate negara sebelum ini.

"Beliau juga mempunyai rekod yang baik sepanjang tempoh itu.

 "Kami mengambil jurulatih dari Eropah sebelum ini, namun kehilangan banyak pingat dalam Sukan Asia lalu dan itu amat mengecewakan," kata Presiden Makaf, Tan Sri Mohamed Ali Rustam.

Dalam pada itu, atlet karate negara, Syakilla Salni Jefry Krishnan, tidak menolak memerlukan sekurang-kurangnya enam bulan untuk menyesuaikan diri dengan teknik latihan dan taktikal yang bakal diterapkan jurulatih berusia 60 tahun itu. 

"Saya memerlukan masa yang lama untuk mennyesuaikan diri.

"Sewaktu bersama Andris dahulu, saya memerlukan enam bulan untuk menyesuaikan diri.

"Saya berharap perkara itu tidak berulang memandangkan kami kini sudah kesuntukan masa," katanya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen