Ketua jurulatih skuad karate negara, Ali Reza Souleymani, masih dalam fasa untuk mengenali barisan atlet bagi menerapkan latihan asas terlebih dahulu dalam latihan pertama bersama pasukan, hari ini.

Sebelum jurulatih dari Iran tersebut menerapkan corak latihan baru kepada atlet, penting untuknya memahami terlebih dahulu teknik sedia ada yang telah dipelajari oleh mereka daripada bekas pengendali, Andris Vasiljevs.

Malah, latihan asas juga perlu diberi keutamaan dalam tempoh sebulan pertama ini sebelum anak buahnya melangkah ke fasa lebih tinggi bagi memastikan mereka dapat membentuk keserasian yang lebih baik.

Ini kerana Ali Reza enggan atlet berasa terlalu terbeban dengan perubahan drastik yang bakal dilakukan.

"Yang pertama sekali, saya ingin meletakkan asas terlebih dahulu.

"Ya, mereka pernah bergelar juara tetapi saya mahu bermula daripada asas.

"Saya tidak mahu anak buah saya mempamerkan aksi tidak konsisten. Sekiranya prestasi mereka turun naik, itu bermakna sekadar nasib.

"Aspek nasib juga penting, namun saya mahu anak buah saya sentiasa mencapai kedudukan podium," katanya.

Selain itu, jurulatih berusia 60 tahun itu turut menitikberatkan waktu sesi latihan yang kini diubah kepada jam 10 pagi selama dua jam berbanding seawal jam 8 pagi sebelum ini.

"Saya mengadakan dua jam latihan dalam dua sesi setiap hari, iaitu bermula pada pukul 10 pagi dan yang berikutnya pada jam 4 petang," tambah Ali Reza/ .

Walaupun hakikatnya bukan mudah, barisan atlet tiada pilihan untuk segera memahami teknik latihan oleh Ali Reza bagi diuji dalam kejohanan terdekat, Liga Premier Karate 1 di Paris, Perancis, bulan depan.