Penasihat Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia Melaka (MASdeaf Melaka), Prof Zaidi Embong, merakamkan penghargaan kepada pelbagai pihak, termasuk kerajaan negeri, di atas sokongan padu yang diberikan kepada persatuan itu.

"Jutaan terima kasih, terutama kepada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ir Idris Haron, Penaung MaSDeaf, Tan Sri Mohd Ali Mohd Rustam, Exco Pembangunan Sukan Melaka, Datuk Ab Rahaman Ab Karim dan Majlis Sukan Negeri Melaka.

"Tidak lupa juga kepada syarikat-syarikat dan individu yang telah memberikan sumbangan dana kepada MaSDeaf,” tambahnya merujuk kepada penyertaan kontinjen MASdeaf Melaka dalam Sukan Orang Pekak Malaysia Ke-19 (SOPMA 19) di Sarawak baru-baru ini.

Menurutnya, pencapaian kontinjen negeri dalam SOPMA tahun ini sangat cemerlang kerana Melaka cuma menghantar dua pasukan, iaitu badminton dan bola sepak tetapi boleh melepasi sasaran dua emas.

Kejayaan meraih tiga emas, dua perak dan dua gangsa adalah menerusi badminton manakala dalam bola sepak, Melaka hanya mampu bersaing di peringkat kumpulan.

Namun, apa yang menggembirakan Zaidi ialah skuad bola sepak MASdeaf Melaka tidak lagi menjadi pasukan belasahan seperti dua tahun lalu.

SOPMA ke-20 akan berlangsung di Perak pada 2018.